Skop dan pengendali NITA
Dasar ini terpakai kepada aplikasi mudah alih NITA, laman web NITA.my dan saluran sokongan rasmi NITA. NITA dimiliki dan dikendalikan oleh NSEVEN DIGITAL MARKETING (No. Pendaftaran: 202503053645 (AS0491593-P)), sebuah perniagaan milik Noorhaziq Hilman Noorhilmi.
Alamat berdaftar: 28 Jalan Uda Utama 4/6, Bandar Uda Utama, 81200 Johor Bahru, Johor, Malaysia. Perniagaan ini didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan pendaftarannya sah sehingga 16 Mac 2027.
NSEVEN DIGITAL MARKETING ialah pengendali produk NITA dan pihak yang bertanggungjawab terhadap amalan data yang diterangkan dalam dasar ini. Nama NITA dan maklumat pengendali ini hendaklah sepadan dengan maklumat aplikasi serta rekod pembangun pada setiap platform pengedaran.
Data yang NITA kendalikan
| Data | Tujuan | Lokasi / perkongsian |
|---|---|---|
| Rekod harian | Tugasan, temujanji, tarikh penting, peringatan, belanja dan sejarah carian. | Disimpan terutamanya pada peranti anda. |
| Maklumat akaun | Mendaftar masuk, mengekalkan sesi dan mengurus akaun. | Firebase Authentication; termasuk alamat e-mel, ID pengguna, penyedia log masuk serta nama atau foto profil jika diberikan oleh penyedia log masuk. |
| Pengecam aplikasi dan notifikasi | Mengekalkan sesi, menghantar notifikasi yang diminta dan melindungi operasi akaun. | Token notifikasi, pengecam pemasangan Firebase dan data teknikal minimum yang diperlukan oleh Firebase. |
| Data ConnectBuddy | Jemputan, sambungan, penghantaran tugasan, status dan notifikasi. | Backend NITA/Firebase untuk menyampaikan tugasan kepada Buddy yang dipilih. |
| Rakaman Voice | Menukarkan arahan suara kepada cadangan rekod berstruktur. | Rakaman suara dihantar melalui sambungan tersulit kepada Google Gemini, yang menukarkannya kepada teks dan memahami arahan dalam satu permintaan. Versi lama aplikasi diterangkan di bawah. |
| Imej resit | Mengesan kedai, jumlah, tarikh dan kategori untuk semakan anda. | Diproses pada peranti menggunakan OCR setempat dan dipadam selepas pemprosesan; imej asal tidak dimuat naik ke pelayan NITA. |
| Maklumat pembelian | Mengesahkan status Premium dan memulihkan pembelian. | Google Play atau App Store; NITA tidak menerima nombor kad penuh anda. |
| Permintaan sokongan | Menjawab pertanyaan dan menyiasat masalah yang anda laporkan. | Saluran sokongan rasmi; hanya kandungan yang anda pilih untuk dihantar. |
| Data diagnostik | Mengesan dan membaiki crash serta ralat app. | Firebase Crashlytics (Google): butiran teknikal semasa crash seperti jejak ralat, model peranti, versi sistem dan versi app, serta pengecam pemasangan. Tidak termasuk kandungan rekod anda. |
| Pengukuran iklan (Android) | Mengukur berapa ramai memasang dan membuka NITA hasil iklan NITA di Facebook dan Instagram. | Meta (Facebook): pengecam iklan peranti, maklumat peranti dan rangkaian (model, versi sistem, bahasa, zon waktu, alamat IP) serta peristiwa pasang dan buka app. |
| Analitik penggunaan | Memahami cara NITA digunakan, seperti bilangan pengguna, sesi dan versi app, untuk menambah baik NITA. | Google Analytics for Firebase (Google): pengecam app, peristiwa penggunaan seperti buka app, sesi, skrin dan langganan, maklumat peranti (model, versi sistem, bahasa) serta anggaran lokasi kasar daripada alamat IP. Aplikasi Android juga menggunakan pengecam iklan peranti; aplikasi iPhone (versi 1.0.3 dan ke atas) tidak mengumpul pengecam iklan (IDFA). Tidak termasuk kandungan rekod anda. |
| Prestasi app | Mengukur kelajuan dan kestabilan app supaya NITA kekal pantas. | Firebase Performance Monitoring (Google): masa mula app, tempoh permintaan rangkaian, penggunaan CPU dan memori, maklumat peranti serta alamat IP untuk mengenal pasti negara. Tidak termasuk kandungan rekod anda. |
Cara data digunakan mengikut fungsi
Local-first
Rekod peribadi seperti tugasan sendiri, temujanji, tarikh, belanja, sejarah dan peringatan direka untuk disimpan pada peranti. Memadam aplikasi, mengosongkan data aplikasi atau kehilangan peranti boleh menyebabkan rekod ini hilang jika tiada kaedah sandaran tersedia.
ConnectBuddy
Apabila anda memilih untuk menghantar tugasan, NITA memproses identiti sambungan, kandungan tugasan, masa/peringatan, status penghantaran dan token notifikasi yang diperlukan. Buddy hanya menerima tugasan yang anda hantar; sambungan tidak memberinya akses kepada pangkalan data peribadi lain pada telefon anda.
Voice dengan Google Gemini
Voice memerlukan internet dan persetujuan anda bagi setiap rakaman. Rakaman suara, maksimum 20 saat, dihantar melalui sambungan tersulit kepada Google Gemini, yang menukarkannya kepada teks dan memahami arahan anda dalam satu permintaan. Ini terpakai pada iPhone versi 1.0.1 dan ke atas serta Android versi 0.40 dan ke atas. Dalam Android versi lama, suara ditukarkan kepada teks oleh perkhidmatan pengecaman suara pada telefon anda dan hanya teks dihantar kepada Gemini. Cadangan “NITA Faham Begini” dipaparkan untuk anda semak, betulkan atau batalkan sebelum menyimpan rekod atau menghantar tugasan kepada Buddy.
NITA tidak menggunakan audio atau transkrip anda untuk pengiklanan. Rakaman dan transkrip mentah tidak disimpan dalam pangkalan data NITA. Fail audio sementara yang dikendalikan NITA dipadam selepas pemprosesan. Pemadaman ini tidak bermaksud semua penyedia memadam semua data serta-merta. Mengikut Terma Gemini API bagi perkhidmatan berbayar yang digunakan NITA, Google menyimpan prompt (termasuk rakaman suara) dan respons untuk tempoh terhad semata-mata bagi mengesan dan mencegah penyalahgunaan, dan tidak menggunakannya untuk menambah baik produk Google.
Belanja Apa Hari Ini dan imbas resit
Fungsi ini ialah alat ingatan dan kesedaran perbelanjaan, bukan perkhidmatan transaksi kewangan. Imej resit digunakan untuk mengekstrak maklumat yang dicadangkan dan dipadam selepas pemprosesan. Rekod akhir hanya disimpan selepas semakan anda.
Kebenaran peranti
- Mikrofon: hanya apabila anda menggunakan Voice.
- Kamera atau foto: apabila anda memilih untuk mengimbas atau memilih imej resit.
- Notifikasi: untuk peringatan dan kemas kini tugasan ConnectBuddy.
NITA tidak meminta akses lokasi GPS, kenalan, SMS, log panggilan atau akses menyeluruh kepada fail peranti. Apabila anda memilih log masuk Google, Google boleh memproses alamat IP untuk menganggar lokasi umum bagi mencegah penipuan. Ini berbeza daripada akses lokasi GPS peranti.
Anda boleh menolak atau menarik balik kebenaran melalui tetapan peranti. Fungsi berkaitan mungkin tidak beroperasi tanpa kebenaran tersebut. NITA tidak sepatutnya meminta kebenaran sebelum pendedahan dalam aplikasi yang menjelaskan tujuannya.
Penyedia perkhidmatan dan perkongsian
NITA menggunakan Google Firebase untuk pengesahan, perlindungan permintaan, penghantaran notifikasi dan data minimum ConnectBuddy; Google Gemini untuk menukarkan rakaman Voice kepada teks dan memahami arahan; Google Play atau Apple App Store untuk pembelian dan langganan; serta Firebase Crashlytics untuk laporan crash dan ralat. Aplikasi NITA untuk Android dan iPhone (versi 1.0.3 dan ke atas) juga menggunakan Google Analytics for Firebase untuk analitik penggunaan, Firebase Performance Monitoring untuk mengukur prestasi app, dan Firebase Remote Config untuk menghidupkan, menghentikan sementara atau melaraskan fungsi app tanpa kemas kini (Remote Config menerima kod negara, bahasa, zon waktu dan versi sistem).
Kami tidak menjual data peribadi anda. Aplikasi NITA tidak memaparkan iklan. Data hanya dikongsi bagi melaksanakan fungsi yang anda gunakan, mematuhi undang-undang, melindungi keselamatan perkhidmatan atau dengan arahan anda. Penyedia perkhidmatan hanya dibenarkan memproses data untuk tujuan yang dinyatakan dan dikehendaki menyediakan perlindungan yang setara dengan dasar ini serta keperluan platform yang terpakai.
Amalan penyedia pihak ketiga juga tertakluk kepada terma dan polisi mereka. Lihat Terma Gemini API dan maklumat privasi Google Sign-In untuk amalan penyedia berkenaan.
Pengukuran iklan Meta (Android sahaja)
Aplikasi NITA untuk Android (versi 0.41.0 dan ke atas) menggunakan Meta App Events daripada Meta Platforms untuk mengukur keberkesanan iklan NITA di Facebook dan Instagram. Apabila anda memasang dan membuka NITA, maklumat seperti pengecam iklan peranti, model peranti, versi sistem, bahasa, zon waktu dan alamat IP, bersama peristiwa pasang dan buka app, dihantar kepada Meta dan diproses mengikut Dasar Privasi Meta. Rekod harian, rakaman Voice, imej resit, data ConnectBuddy dan butiran akaun anda tidak dihantar kepada Meta.
Anda boleh menetapkan semula atau memadam ID iklan melalui tetapan Android (Tetapan → Google → Iklan / Privasi → Iklan), dan mengurus pilihan iklan Meta melalui Pilihan Iklan akaun Facebook atau Instagram anda. Aplikasi NITA untuk iPhone tidak menggunakan Meta App Events.
Laman web NITA.my dan Meta Pixel
Laman utama NITA.my menggunakan Meta Pixel daripada Meta Platforms untuk mengukur keberkesanan iklan NITA di Facebook dan Instagram. Apabila anda melawat laman utama, Meta Pixel boleh menggunakan kuki dan teknologi serupa untuk menerima maklumat seperti halaman yang dilawati, klik pada butang App Store atau Google Play, alamat IP, jenis pelayar dan pengecam kuki. Meta memproses maklumat ini mengikut Dasar Privasi Meta.
Meta Pixel hanya dipasang pada laman web. Ia tidak berada dalam aplikasi NITA, dan rekod, rakaman Voice, resit atau data akaun dalam aplikasi tidak dihantar kepadanya. Anda boleh menyekat atau memadam kuki melalui tetapan pelayar anda, dan mengurus cara Meta menggunakan aktiviti daripada laman lain melalui Pilihan Iklan akaun Facebook atau Instagram anda.
Penyimpanan dan pemadaman
- Rekod local-first kekal sehingga anda memadamkannya, memadam aplikasi atau mengosongkan data peranti.
- Imej resit dipadam selepas pemprosesan. Rakaman Voice dan transkrip mentah tidak disimpan dalam pangkalan data NITA. Fail audio sementara yang dikendalikan NITA dipadam selepas pemprosesan. Penyedia boleh menyimpan data untuk keselamatan, pencegahan penyalahgunaan atau kewajipan undang-undang: Google menyimpan prompt (termasuk rakaman suara) dan respons untuk tempoh terhad mengikut Terma Gemini API.
- Identiti akaun dan data ConnectBuddy aktif disimpan selama akaun diperlukan. Selepas permintaan pemadaman, akses ditamatkan dan pembersihan backend boleh mengambil masa sehingga 30 hari.
- Rekod transaksi, log keselamatan atau salinan sandaran yang dikawal penyedia boleh disimpan untuk tempoh terhad apabila diperlukan oleh penyedia atau undang-undang.
Lihat Padam Akaun & Data untuk langkah lengkap.
Pilihan dan hak anda
Anda boleh melihat dan membetulkan rekod dalam aplikasi, memadam rekod, menolak kebenaran peranti, tidak menggunakan Voice, memutuskan ConnectBuddy, membatalkan permintaan sebelum disimpan, serta meminta akaun dan data berkaitan dipadam.
Anda juga boleh menghubungi titik hubungan privasi rasmi untuk pertanyaan akses, pembetulan atau pemadaman. Proses pengesahan munasabah mungkin diperlukan untuk melindungi akaun anda.
Keselamatan dan tanggungjawab peranti
Kami menggunakan kawalan teknikal dan organisasi yang munasabah, termasuk penghantaran data melalui sambungan tersulit apabila data perlu bergerak dalam talian. Tiada sistem boleh dijamin selamat sepenuhnya. Lindungi peranti dan akaun anda, gunakan kunci skrin serta jangan berkongsi kata laluan atau OTP.
Pengguna bawah umur
NITA tidak ditujukan kepada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun. Jika undang-undang setempat menetapkan umur persetujuan yang lebih tinggi, pengguna di bawah umur tersebut hendaklah menggunakan NITA hanya dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga. Jika kami mengetahui data kanak-kanak dikendalikan tanpa persetujuan yang diperlukan, kami akan mengambil langkah untuk memadamkannya.
Perubahan dan cara menghubungi kami
Kami boleh mengemas kini dasar ini apabila ciri, penyedia atau keperluan undang-undang berubah. Tarikh kemas kini akan dipaparkan di bahagian atas, dan perubahan penting akan dimaklumkan dengan cara yang bersesuaian.
Untuk pertanyaan privasi, hubungi support@nita.my atau gunakan halaman Hubungi Kami.
